11 March 2010

Ya Allah, Sembuhkanlah Insyirah.

Sudah beberapa hari hati berteka-teki dengan keadaan buah hati rupa-rupanya sudah 2 minggu buah hati sakit. Syafakillah ya ukhti.

Dengan kesibukan seharian, tak tahu nak meluahkan apa yang terbuku di hati. Moga ALLAH menjagamu dengan sebaik-baiknya. Ameen.

08 January 2010

Terlalu Berharga

Sahabatku,

Tatkala relung hati terbuka, terkenang kembali memori lama yang tercipta. Ada kala kita ketawa riang, tersenyum simpul, beramah mesra dan saling beriringan. Ada kala ujian Nya datang menghampiri bagi mengukuhkan keutuhan ukhuwah kita. Dia sengaja memberikan semilir angin yang mendamaikan, Dia sengaja mengaturkan onak berduri untuk kita sama-sama redahi.

Sahabatku,

Semilir angin, onak berduri dan segala kenangan yang pernah kita lalui... Aku selalu teringat akan ikrar kita, "Berjuang kerana Allah, berakhlaq sebagai penuntut ilmu." Ramai yang bertanya dan tertanya, harus mengapa kita laungkan bersama untuk berakhlaq sebagai penuntut ilmu.

Sahabatku,

Aku masih teringat akan senyuman manismu, santun pekertimu dan lembut katamu pada hatiku...

"Bagaimana akan mendapat ilmu yang berkat dan bermanfaat andai pekerti tidak seperti orang yang ingin menadah ilmu? Bagaimana ilmu akan mudah diingati dan dizahirkan dengan akhlaq andai hati belum lurus kepada Ilahi? Kita berjuang kerana Allah, kalah dan menang bukan debatnya tetapi jalan berliku yang membawa kepada Tuhan akan digagahi walau kudrat badan tidak segagah pahlawan agung, kita tetap berusaha menjadi srikandi. Impian yang besar pada usaha yang sangat kecil, tetapi itu lebih baik dari hanya berimpian tanpa ada usaha untuk mencapainya."

Aduh, betapa hati ini terbuka akan nasihat keimanan darimu. Benar, hidup mati ini untuk Allah, apakah akan tersimpan setiap duka andai biasan bahagia menanti di hadapan? Andai mereka menangis kerana gagal di dunia, kita tetap menangis di dunia kerana gagal menjadi contoh kepada yang lain, gagal membawa mereka kepada Islam yang mulia.

Sahabatku,

Alirkanlah air mata... Biarlah kering air mata kita di dunia ini, aku harapkan kita sama-sama akan beriringan tangan di alam abadi kelak, kita sama-sama tersenyum dan ceria. Hidup ini hanya satu permusafiran, sama ada jambatan itu kukuh, roboh atau berlopak di sana-sini... Kitalah yang akan menjadi arkitek dan kontraktor pada jambatan hidup kita.

Sahabatku,

Telah Allah berikan jalan untuk kita, diberikan Islam sebagai agama kita, diberikan Rasulullah s.a.w. sebagai qudwah kita, apakah kita masih teraba-raba di lorong sepi bagai hilang punca dan tenggelam arah tuju?

Sahabatku,

Aku harapkan kita akan terus berpegang tangan, sama-sama beriringan menuju Khaliq. Saat air mata menitis kerana tak terbendung perasaan cinta dan rindu pada dirimu yang jauh dari mataku, segera aku memujuk sekeping hati agar segera tunduk pada Ilahi.

Sahabatku,

Kata orang bercinta, biar jauh di mata tetapi tetap di hati. Andai rindu menggigit sukma, pandanglah pada sang rembulan di malam hari kerana bulan itu hanya satu dan di mana juga kita berada, kita tetap memandang bulan yang satu.

Kata orang berkasih, biar jauh di mata tetapi hadir dalam doa. Andai dilanda rindu dendam, segera memandang langit yang luas agar terasa keluasan rahmat Tuhan, mudah-mudah Allah yang Maha Pemurah itu segera mengaturkan pertemuan.

Kata orang saling menyayang, biar jauh di mata tetapi tetap diingati walau ke alam mimpi. Andai terasa sayangnya meluap-luap, pandanglah ke tanah agar segera mengingati mati, mudah-mudahan ingatan pada kematian akan melenyapkan keripuhan hati yang melanda.

Tetapi, pesan aku padamu wahai sahabat yang teramat, amat, amat aku sayangi... Andai di hatiku atau hatimu terdetik rasa yang tak mampu diluahkan dengan kata-kata... Aku tidak mampu berkata apa-apa kerana dirimu terlalu istimewa. Aku tak mampu meluah rasa sekeping hatiku pada dirimu wahai sahabat.

Aku hanya mampu memujuk hati.

Jauhmu dariku adalah kerana Allah.
Sepimu dariku adalah kerana kesibukan seharianmu sebagai penuntut ilmu.
Senyapmu adalah kerana jadualmu padat sebagai pejuang agama Allah.
Diammu adalah kerana dirimu dikelilingi sahabat-sahabat yang soleh solehah.

Dan aku hanya terdaya meminta dan terus meminta dari Allah agar sentiasa memelihara sahabat yang aku cintai ini dengan sebaik-baik penjagaan. Kerana, hatiku selalu yakin bahawa tiada penjaga yang lebih hebat jagaannya selain dari Allah yang Esa. Hatiku terpujuk, jiwaku menunduk, perasaanku terduduk...

Sekeping hati ini aku berikan pada Allah, lantunan doa buat sahabat yang sentiasa hadir setiap sujud terakhir dalam solatku.

Sahabatku,

Di saat mereka memandang rembulan, melempar pandangan pada keluasan langit, menjatuhkan hati memandang debu tanah yang berhembus perlahan... Aku tidak mampu menutup rasa hatiku, kerana kita sebenarnya punya KIBLAT YANG SATU. Hanya itu yang mampu mendamaikan ripuh gelora kalbuku saat merindui dirimu wahai sahabatku.

Sahabatku,

Walau di mana dirimu berada, apakah di utara selatan timur mahupun barat... Aku selalu mendoakan kesejahteraan buatmu hatta diriku tidak lagi beriringan di sisimu. Kita tetap bersama, dalam doa dan sujud saat memandang kiblat yang satu.

Dari Cebisan Hati; Adik Insyirah

1. Gugur air mata setiap kali membaca.
2. Abang tegur sebab selalu ulang baca ayat ini.
3. Terasa di lubuk hatinya memendam sesuatu yang sangat berat untuk diluahkan.
4. Dia memang banyak memendam hingga tidak terpendam.
5. Dia suka berahsia hingga sakit akibat tekanan perasaan.
6. Hanya mampu mendoakan kesejahteraannya.
7. Semoga harapannya dimakbulkan.

03 December 2009

Seharum Mawar

Salam kasih sayang.
Salam seharum mawar.
Salam sehangat mentari.
Salam seindah pelangi.
Salam rindu padamu.

"Should I just be like this? Hoping for new spirit...! Spirit, spirit, come to me!"

Wahai adikku sayang, terkadang hati ini sayu membaca kalam bait yang dilontarkan walau sekadar hanya perkataan yang jauh diterbangkan. Diri ini faham akan kesakitan yang dilalui namun tidak pernah memahami akan apa itu kesakitan yang dideritai.

Berulang-alik ke hospital bagi menyelesaikan beberapa tugas buat diri ini makin dekat dengan pesakit, jauh di sudut hati terbayang akan adik yang jauh. Bahkan terlalu rindu untuk mendengar khabar. Seakan ada lintasan dari hati, untuk segera bertanya khabar adik yang dikasihi.

"Kak, duduk di sana seronok tak? Kalau winter main salji tak? Hanisah suka musim apa?"

Apa yang termampu dijawab hanyalah...

Keseronokan itu bukan pada yang mencari tetapi pada mereka yang mencipta. Keseronokan itu datang dari bahagia, bagi mencari bahagia sangatlah rumit dalam menetapkan skala pencarian tetapi sebagai makhluk Allah kita sendiri jugalah yang harus mencipta keseronokan dan seterusnya membenihkan kebahagiaan.

Anakku, permata hatiku sangat girang kala musim bunga kerana pada musim bunga keceriaan sangat jelas terpancar dari alam seakan hadiah dari Tuhan agar kita lebih menghargai. Hubby juga amat menyukai musim bunga, kami seakan beraya dan meraikan kemeriahan warna-warna bunga yang berkembang mekar. Sekembang taman hati yang kami usahakan untuk MENCIPTA keseronokan dan kebahagiaan.

Alhamdulillah. Banyak yang ingin dikongsikan bersama kalian. Tujuan blog ini juga dijelaskan dari Ukhti Wawa supaya ianya lebih santai dan ceria tidak lain tidak bukan bagi MENCIPTA keseronokan seterusnya kebahagiaan. Insya Allah.

Salam keceriaan,
Ummu Hanisah, United Kingdom.

01 December 2009

Pembuka Bicara

Dengan Nama Allah.

Alhamdulillah, atas sokongan dari sahabat juga insan sekeliling. Blog ini adalah sekitar cerita peribadi, semoga kehadiran blog ini akan menjadikan adik Insyirah semakin tabah dan ceria. Insya'Allah.